Kanak-Kanak 4 Tahun Rentung Dalam Kebakaran Sebuah Rumah

Gambar Hiasan

 

IPOH – Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Lintah Tiong, Slim Village, Slim River hari ini.

Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Slim River, Md Zin Mohd Saaidin berkata, Muhammad Shahrizal Abdullah ditemui rentung di ruang tamu selepas anggota bomba selesai memadamkan kebakaran.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Slim River untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Md Zin berkata, kejadian berlaku pada pukul 2.30 petang dan ketika itu mangsa berada di ruang tamu seorang diri.

Ibunya Norlia Zakaria, 51, dan lima lagi adik-beradiknya berada di bahagian dapur dan sempat menyelamatkan diri ketika api pantas merebak.

Beliau berkata, seramai 11 anggota bomba dua jentera dikejarkan ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan.

Punca kejadian dan jumlah kerugian belum diketahui. – Bernama

Add Comment


*