United Jarak Tujuh Mata Dengan City

 

Pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester United bangkit tiga kali daripada ketinggalan untuk akhirnya menang 4-3 ke atas Newcastle, malam tadi tatkala pencabar terdekat yang juga juara bertahan, Manchester City tewas 0-1 kepada Sunderland.

Keputusan malam tadi itu menyaksikan United kini mengumpul 46 mata selepas 19 perlawanan untuk selesa berkelebihan tujuh mata berbanding City yang kekal 39 mata di tangga kedua.

Di Old Trafford, Newcastle mendahului seawal minit ke-4 menerusi James Perch sebelum Jonny Evans menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-25.

Namun hanya selang tiga minit kemudian, Evans terjaring gol sendiri untuk Newcastle 2-1 di depan pada babak pertama.

Ledakan Patrice Evra pada minit ke-58 menjadikan kedudukan 2-2 sebelum Papiss Demba Cisse menjaringkan gol ketiga Newcastle pada minit ke-68.

Namun Robin van Persie berjaya menyamakan kedudukan 3-3 pada minit ke-71 sebelum Javier Hernandez muncul wira United dengan gol kemenangan pada minit ke-90.

Kemenangan dramatik United itu disambut dengan kekalahan City di Stadium of Light apabila gol tunggal kemenangan Sunderland dijaringkan Adam Johnson pada minit ke-53.

Di Carrow Road, Chelsea berjaya membawa pulang tiga mata penting apabila menewaskan Norwich 1-0 hasil jaringan Juan Mata minit ke-38.

Chelsea yang kurang satu perlawanan kini menduduki tangga ketiga, hanya ketinggalan empat mata berbanding City.

Tottenham pula naik ke tangga keempat, dua mata di belakang Chelsea selepas mencatat kemenangan bergaya 4-0 ke atas Aston Villa di Villa Park, hasil hatrik Gareth Bale minit ke-61, 73 dan 84 serta jaringan pembukaan Jermain Defoe minit ke-57.

Lain-lain keputusan malam tadi, Everton menewaskan Wigan 2-1, Fulham seri 1-1 dengan Southampton, QPR tewas 1-2 kepada West Brom dan Reading seri 0-0 dengan Swansea.

 

Sumber

Add Comment


*