PARALIMPIK: Muhammad Ziyad Raih Gangsa

PARALIMPIK 2012: Muhammad Ziyad Raih Gangsa

LONDON – Atlet elit olahraga negara, Muhammad Ziyad Zolkefli meraih pingat gangsa dalam acara lontar peluru lelaki F20 (masalah pembalajaran) pada temasya Sukan Paralimpik London di sini, hari ini.

Muhammad Ziyad, 22, menghasilkan pingat kedua Malaysia pada temasya edisi ke-14 dengan lontaran sejauh 15.21 meter.
Sebelum ini, pemanah elit negara Hasihin Sanawi menyumbangkan pingat pertama negara itu pingat perak dalam acara recurve individu lelaki W1/W2 pada Isnin lalu.

Pingat emas acara itu dimenangi Todd Hodgetts dari Australia dengan jarak 16.29m dan perak menjadi milik Jeffrey Ige dari Sweden dengan jarak 15.50m.

Ketiga-tiga atlet telah melepasi rekod berusia 12 tahun milik Krzysztof Kaczmarek dari Poland iaitu 13.10 meter pada edisi di Sydney, Australia, pada tahun 2000.

“Saya memang bersyukur sangat kerana saya dapat menang pingat di Sukan Paralimpik ini. Saya memang sasarkan untuk menang pingat.

“Pingat ini adalah untuk kedua ibu bapa saya dan juga kepada seluruh rakyat Malaysia yang menyokong kami di sini,” kata Muhammad Ziyad, yang kali pertama mewakili negara di temasya Sukan Paralimpik.

Menurut atlet berasal dari Gombak, Selangor itu, beliau sedikitpun tidak merasa tekanan walaupun lontaran ketiga beliau telah dibatalkan.

“Ia memang kesilapan saya tetapi sedikitpun tidak jejas tumpuan saya untuk berikan yang terbaik. Saya telah beri sepenuh komitmen saya semasa di gelanggang,” katanya.

Lontaran pingat gangsa Muhammad Ziyad dicatat pada percubaan keduanya selepas percubaan pertama menyamai pencapaian terbaik peribadinya, 13.79m.

Pada percubaan keempat, Muhammad Ziyad melakukan catatan 14.35m dan pada percubaan kelima dan keenam masing-masing dengan 14.13m dan 14.36m.

Sementara itu dalam satu lagi acara olahraga yang berlangsung malam ini, Adderin Majurin sekadar berada di kedudukan ke-15 daripada 20 peserta dalam acara lempar cakera lelaki F32/33/34 (cerebral palsy).

Adderin mencatatkan 24.26m dalam acara tersebut yang dimenangi oleg peserta China Wang Yanzhang dengan jarak 49.03m.

Pingat perak dan gangsa masing-masing menjadi milik Hani Alnakhli dari Arab Saudi (34.65m) dan Lahouari Bahlaz dari Algeria (22.30m). – Bernama

Add Comment


*