Ahli Bina Badan Terkecil Meninggal Dunia

Ahli Bina Badan

India  – Ahli bina badan terkecil di dunia,  Aditya ‘Romeo’ Dev, 23, yang mempunyai ketinggian  2 kaki 9 inci , meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri di rumahnya, kelmarin.

Dia kemudiannya dikejarkan ke hospital di Jalandhar, Punjab, namun doktor gagal menyelamatkannya.

Menurut bapanya, Anil Dev Sharma, 53, anaknya sebelum ini kelihatan sihat, hinggalah dia tidak sedarkan diri.

“Kami membawanya ke hospital dan dia terus berada dalam keadaan koma sehingga akhir hayatnya.

“Doktor memaklumkan bahawa saraf yang membekalkan darah ke otak telah pecah, mengakibatkan kematiannya,’’ katanya.

Kematian Dev, kata bapanya, merupakan satu kehilangan besar kepada keluarga mereka.

Dalam pada itu, ibunya, Rakesh Bala, 49, berkata, keluarganya telah dimaklumkan oleh doktor sejak beberapa tahun lalu bahawa anak mereka berkemungkinan akan meninggal dunia pada usia muda.

“Selama ini kami sentiasa mendoakannya supaya panjang umur,’’ katanya.

Sementara itu, doktor yang bertugas ketika Dev dihantar ke hospital itu, Dr. Neeraj Chandan berkata, harapan untuk melihat Dev selamat daripada pendarahan dalam otak itu amat tipis.

Dev sebelum ini mencipta nama dalam Guinness Book of Records selepas berjaya mengangkat besi seberat 1.5kg.

Pada  2008, dia telah dirawat oleh pakar di Amerika Syarikat dan disahkan menghidap cerebral aneurysm pada bahagian otaknya.

Ketika itu, doktor telah melahirkan kebimbangan, sarafnya boleh pecah pada bila-bila masa, dan boleh menyebabkannya diserangkan strok.

 

Add Comment


*