91 Maut Puting Beliung Gergasi Landa Oklahoma

Screen Shot 2013-05-23 at 7.13.18 PM

 

MOORE – Anggota-anggota pasukan penyelamat berusaha mencari sejumlah mangsa yang tertimbus di celah runtuhan rumah, sekolah rendah dan sebuah hospital di pinggir bandar Oklahoma selepas kejadian angin puting beliung yang berlaku kelmarin.

Dalam kejadian bencana alam itu, 91 orang terbunuh dan lebih 200 lagi cedera.

Saiz puting beliung itu berukuran tiga kilometer lebar dan ia melalui kawasan bandar Moore di bandar Oklahoma sekali gus menyebabkan ramai mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama turut mengisytihar kawasan di sekitar Oklahoma sebagai kawasan bencana besar.

Menurut White House, Obama telah dimaklumkan secara ringkas mengenai bencana alam itu.

Seramai 20 daripada 91 orang yang terbunuh itu merupakan kanak-kanak.

Pusat Perkhidmatan dan Ramalan Kaji Cuaca Kebangsaan AS menyatakan, puting beliung itu dikategorikan sebagai yang kedua paling bahaya dengan kelajuan angin 320 kilometer sejam.

Ia mengeluarkan amaran 16 minit sebelum puting beliung itu melanda Moore.

Beberapa saksi menyatakan, puting beliung itu kelihatan lebih bahaya daripada puting beliung gergasi yang melanda di kawasan yang sama pada 3 Mei 1999 menyebabkan lebih 40 orang terbunuh dengan mengakibatkan ribuan rumah musnah.

Bencana yang berlaku di Oklahoma pada tahun itu dianggap yang ketiga terbesar dalam sejarah AS sehingga mengakibatkan kerugian lebih AS$1 bilion (RM3.01 bilion).

Seorang saksi, Jeff Alger, 34, berkata, dia dan isterinya termasuk beberapa anak mereka melarikan diri dari Moore selepas mengetahui puting beliung itu akan melanda.

Menurutnya, dia melihat puting beliung itu mengganas beberapa kilometer dari sini.

“Mereka (mangsa-mangsa) tidak sempat untuk memakai kasut,” katanya yang mempunyai lima orang anak.

Dia dan isterinya dirawat di hospital kerana terkena serpihan kaca.

Seorang lagi mangsa, Ninia Lay, 48, berkata, dia bersembunyi di dalam sebuah ruang ketika puting beliung melanda.

“Saya bersembunyi di dalam ruang itu dan mendengar seperti sebuah kereta api sedang bergerak,” katanya.

Rumah Lay ranap dimusnahkan puting beliung itu manakala dia tertimbus dengan serpihan rumahnya selama dua jam sebelum diselamatkan oleh suaminya dan beberapa anggota penyelamat. – Reuters

Sumber

Add Comment


*