Zanariah – Saya Tak Dapat Maafkan Pembunuh Suami Saya

 

KAMUNTING – “Saya tidak dapat memaafkan pembunuh yang telah menembak suami saya. Saya mahu pihak berkuasa mengenakan hukuman yang sewajarnya ke atas suspek yang telah menembak suami saya,” luahan isteri mangsa tembak pegawai keselamatan, Hasnol Hafiz Saad, 28.

Zanariah Mat Ramli, 27, berkata, beliau tidak menyangka kejadian seumpama itu boleh menimpa arwah suaminya.

“Kini saya perlu terima ketentuanNya dengan tabah dan meneruskan hidup seperti biasa walaupun arwah telah tiada,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga di Kampung Sungai Relong, di sini semalam.

Beliau berkata, walaupun kini telah mengetahui enam suspek yang terlibat dalam kejadian itu berjaya ditahan pihak polis, namun hatinya masih tidak tenang kerana suspek utama masih belum dikesan.

“Saya memang harap sangat individu yang terlibat dan bertanggungjawab di atas kematian arwah segera diberkas supaya hukuman yang sepatutnya dijatuhkan kepadanya,” katanya.

Tambah beliau lagi, sejak kejadian itu berlaku, beliau banyak mendapat sokongan dan nasihat daripada ahli keluarga, kawan-kawan termasuk ibu mertua.

“Saya juga bersyukur kerana walaupun setelah ketiadaan arwah, ahli keluarga dan orang sekeliling sentiasa ada memberikan dorongan dan semangat supaya saya dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Malah ibu mertua juga sentiasa memberikan nasihat supaya selepas ini dapat menjaga diri dengan baik,” katanya.

Sementara itu, bapa beliau, Mat Ramli Abd Hamid, 60, berkata, beliau bersyukur kerana telah ada suspek yang berjaya ditahan.

“Terima kasih kepada pihak polis kerana cepat menjalankan siasatan sehingga berjaya menahan enam suspek yang terlibat dalam kes tembakan Hasnol,” katanya.

Walaupun enam suspek yang terlibat telah ditahan, namun beliau tetap mahu suspek utama yang terlibat dalam kes tembakan menantunya 18 September lalu dihadapkan kemuka pengadilan.

“Saya rasa sangat tidak berpuas hati disebabkan kejadian itu kami sekeluarga telah kehilangan arwah buat selama-lamanya.

“Arwah juga adalah menantu lelaki pertama dalam keluarga dan kehilangannya memang begitu terasa,” katanya.

Mat Ramli berkata, beliau sekeluarga amat berharap agar pihak polis dapat meneruskan usaha mengesan suspek. – Sinar Harian

Add Comment


*