Tiada Kenaikan Harga Barangan Di Kelantan

Screen Shot 2013-05-22 at 9.12.08 PM

 

KOTA BHARU – Tidak berlaku kenaikan harga barangan terkawal di Kelantan seperti digembar-gemburkan di laman sosial, demikian menurut Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan.

Pengarahnya, Sharuddin Jali, berkata dakwaan mengenai kenaikan harga barangan oleh pihak tertentu sama sekali tidak berasas.

“Pihak kami sentiasa mengadakan pemantauan dari semasa ke semasa dan setakat ini tiada sebarang kenaikan harga barangan dilaporkan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Sharuddin berkata, kerjasama daripada pengguna amat penting untuk sama-sama memantau dan membuat aduan kepada pihaknya berhubung sebarang isu kenaikan harga.

“Kami minta supaya pihak di luar sana tidak sewenang-wenangnya menyebarkan mengenai kenaikan harga dan sekiranya ada kenaikan harga, pengguna boleh membuat aduan,” katanya.

Menurutnya, aduan kepada KPDNKK boleh dibuat melalui talian hotline 1-800-886-800 atau melalui khidmat pesanan ringkas dengan menaip KPDNKK ADUAN dan hantar ke 15888.- BERNAMA

Add Comment


*