Taktik Bersama Kekasih Hamil 7 Bulan, Hadang Pintu Bilik

Pegawai Penguatkuasa JAJ menenangkan bekas tentera itu ketika pemeriksaan dilakukan.

KLUANG – Panik apabila pintu bilik hotel yang ditumpangi diketuk penguatkuasa Jabatan Agama Johor (JAJ) daerah Kluang, seorang lelaki sanggup mengadang pintu biliknya dengan sebuah meja bagi menyelamatkan diri bersama pasangan kekasihnya daripada
ditahan dalam Ops Maksiat, awal pagi kelmarin.

Selepas hampir 10 minit mendiamkan diri tanpa memberi tindak balas, pintu bilik berkenaan dipecahkan pihak penguatkuasa.

Menurut Pegawai Tadbir Agama daerah Kluang, Mohd Khalil Md Noor, pemeriksaan penguatkuasa mendapati, seorang lelaki berusia 33 tahun bersama pasangannya berusia 19 tahun yang sedang mengandung tujuh bulan berada di dalam bilik hotel itu.

“Pihak kita juga menghadapi sedikit masalah apabila lelaki itu yang juga bekas tentera tidak berpuas hati dengan tindakan yang dilakukan pegawai penguatkuasa JAJ kepadanya,” katanya.

Mohd Khalil berkata, hasil soal siasat, lelaki tersebut telah diberhentikan daripada perkhidmatan tentera kerana kesalahan tatatertib dan sudah mempunyai isteri serta empat anak yang tinggal di Taman Sri Impian.

“Manakala pasangannya itu tidak bekerja setelah menamatkan persekolahan sehingga tingkatan lima,” katanya.

Beliau berkata, lelaki tersebut memberitahu yang dia mahu bernikah apabila mengetahui kekasihnya mengandung, tetapi hasratnya terbantut apabila mendapat tentangan daripada isteri.

“Bagaimanapun, pasangan tersebut dibebaskan setelah diikat jamin oleh keluarga masing-masing dan akan didakwa di bawah Seksyen 23(1) (2) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor dan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM5,000 atau penjara tidak lebih dari tiga tahun atau enam kali sebatan jika sabit kesalahan.

“Pasangan  itu adalah antara tujuh pasangan yang telah berjaya ditahan dalam Ops Maksiat sempena Hari Merdeka awal pagi kelmarin,” katanya.

Add Comment


*