Seorang Penganggur Terlepas Dari Hukuman Gantung

 

ALOR SETAR – Seorang penganggur terlepas daripada hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam selepas membunuh bapanya, 11 Ogos tahun lalu.

Hakim Mohd Zaki Abdul Wahab dalam keputusannya berkata, tertuduh Mohd Adli Saman, 34, tidak disabitkan hukuman gantung kerana semasa kejadian dia mengalami gangguan kewarasan mental.

“Berdasarkan Seksyen 348 Kanun Tatacara Jenayah, kematian bapanya disebabkan tertuduh, namun mahkamah melepaskan dia daripada hukuman atas alasan mempunyai penyakit mental semasa kejadian,” katanya.

Mohd Zaki memerintahkan tertuduh ditahan sementara di Hospital Bahagia, Hulu Kinta, Perak sehingga mendapat pengampunan daripada Sultan Kedah.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aisyaf Falina Abdullah. Mohd Adli yang tidak bekerja didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Tertuduh didakwa membunuh bapanya, Saman Sirun, 61, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pasir Puteh Mukim Tualak, Kuala Nerang antara jam 7 dan 7.30 malam.

Namun, mahkamah mengarahkan supaya tertuduh menjalani ujian kesihatan mental kerana dipercayai tidak waras.

Bagaimanapun, selepas menjalani rawatan, tertuduh disahkan layak untuk dibicarakan selepas mahkamah mendengar keterangan daripada enam orang saksi pendakwaan dan dua orang saksi pembelaan yang terdiri daripada ahli keluarga.

 

Sumber – SinarHarian

Add Comment


*