Seorang Lelaki Maut Selepas Berlanggar Dengan Lori Seludup

 

ALOR GAJAH – Seorang lelaki maut apabila kereta jenis Perodua Myvi yang dipandunya berlanggar dengan sebuah lori membawa muatan minuman keras serta rokok seludup.

Kejadian tersebut menyebabkan tubuh mangsa rentung apabila kereta itu terbakar dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi di Kilometer 194.9 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) berhampiran Plaza Tol Ayer Keroh di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Suprintenden Umar Ali Saifuddin Shaharudin berkata, tubuh mangsa yang terbakar kira-kira 80 peratus menyebabkan identiti mangsa masih belum dikenali setakat pagi ini.

“Ketika kejadian mangsa sedang menghala ke Kuala Lumpur sebelum melanggar bahagian belakang lori yang menuju arah sama. Pelanggaran tersebut menyebabkan kereta mangsa melekat pada belakang lori dan terseret sejauh 100 meter lalu terbakar,” katanya.

Menurut beliau, pemandu lori terbabit bertindak melarikan diri selepas kejadian tersebut dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

 

– Mynewshub

Add Comment


*