Pusat Judi, Urut Di Selangor Bertambah?

 

KUALA LUMPUR – Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia (LKPJM) mendedahkan terdapat kira-kira 500 pusat kafe siber menjalankan aktiviti secara tidak sah di Selangor.

Yang dipertuanya, Profesor Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya mendakwa, aktiviti kafe siber yang diragui tersebut dikesan melalui pemantauan yang dilakukan oleh LKPJM.

“LKPJM mendapati lebih kurang 500 pusat kafe siber yang salah dan tidak sah di Selangor manakala pusat rumah urut juga semakin bertambah.

“LKPJM hairan bagaimana pusat urut di kafe siber ini boleh semakin banyak di Selangor dan apakah kerajaan negeri memandang sepi isu ini,” dakwanya melalui satu kenyataan media.

Saharuddin berkata, pusat perjudian merupakan satu masalah yang paling besar dalam sesebuah masyarakat kerana ia melalaikan tanggungjawab ketua keluarga.

Malah, katanya, pusat perjudian juga merupakan pemangkin kepada kes jenayah seperti ragut, curi, rompak dan pecah rumah.

Justeru beliau menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan ke atas premis yang menjalankan aktiviti seperti itu demi kesejahteraan awam.

Dakwa beliau lagi, PBT mempunyai peruntukkan undang-undang untuk mengambil tindakan atau membatalkan lesen terhadap premis terbabit.

Dalam pada itu Saharuddin melahirkan rasa kesal kerana Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) tidak memotong bekalan elektrik dan air ke premis seperti itu.

Tegas beliau, LKPJM berpandangan semua agensi termasuk jabatan agama perlu membantu mencegah aktiviti perjudian dan maksiat.

 

Sumber

Add Comment


*