Pasukan Pertama KP1M Gerakkan Misi Bantuan

 

KUALA LUMPUR – Kelab Putra 1 Malaysia (KP1M) telah menggerakkan pasukan pertama sukarelawan untuk menyalurkan keperluan asas kepada mangsa banjir di negeri pantai timur seperti Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Pasukan pertama itu yang terdiri daripada 25 sukarelawan memulakan perjalanan malam ini membawa barangan seperti tilam, selimut, minuman, barangan kebersihan diri dan kandi.

Misi itu diketuai Timbalan Presiden KP1M Muhamad Yadzan Mohamad dan Bendahari Kehormat KP1M Abdul Mutalif Abdul Rahim.

Muhamad berkata KP1M telah diarahkan oleh Presidennya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim agar sukarelawan dihantar ke kawasan bencana, melalui perbualan telefon.

“Terdapat lima kontena, tiga kenderaan pacuan empat roda, dua ambulans, dua lori tiga tan dan empat kereta akan membawa semua barangan itu dan 25 sukarelawan termasuk dua pasukan perubatan,” katanya ketika ditemui di Plaza Tol Gombak dekat sini malam ini.

Beliau berkata Abdul Azeez akan menyertai misi itu sebaik beliau pulang daripada misi bantuan kemanusiaan di Filipina malam esok. – BERNAMA

Add Comment


*