Mayat Bayi Terapung Dalam Takungan Air

Mayat Bayi Ditemui Terapung Dalam Takungan Air

 

KUALA LUMPUR – Mayat bayi lelaki yang cukup sifat dan masih bertali pusat ditemui terapung dalam takungan air di Taman Puncak Jalil semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Abd. Razak Elias berkata, bayi malang itu dijumpai orang awam yang menghubungi Bilik Gerakan Polis Daerah Serdang pada 5.30 petang semalam.

“Mayat bayi yang sudah berulat dan dibalut dengan kemeja-T berwarna merah itu dipercayai telah berada dalam takungan air tersebut selama empat atau lima hari,” katanya dalam khidmat pesanan ringkas.

Bayi itu dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi Ibu Pejabat Daerah Serdang di talian 03-8062 0485.

Dalam kejadian berasingan, Lembaga Tabung Haji (LTH) memaklumkan satu kebakaran kecil berlaku di kabin menyimpan hadiah sumbangan syarikat korporat, untuk diagih kepada bakal haji, di Kompleks Haji Kelana Jaya pada 11.30 pagi.

Menurut kenyataan LTH, siasatan awal bomba mendapati kejadian itu berpunca daripada litar pintas panel elektrik di kabin berkenaan.

Tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan, dan kejadian itu juga tidak menjejaskan operasi pelepasan bakal haji dari kompleks berkenaan. – BERNAMA

Add Comment


*