Genneva Malaysia Disiasat – Bank Negara Malaysia

Genneva Malaysia Disiasat - BNM

 

KUALA LUMPUR – Genneva Malaysia Sdn Bhd dan syarikat-syarikat yang berkaitan dengannya disiasat agensi penguatkuasa berkenaan bagi kesalahan yang disyaki, yang termasuk pengambilan deposit secara haram dan pengubahan wang haram.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, kesalahanlain yang disyaki termasuk pengelakan cukai, penerangan palsu termasuk salah pernyataan, pelantikan ejen tanpa lesen dan kegagalan menyerahkan dokumen berkanun.

Serbuan bersama dijalankan pada 1 Oktober di beberapa premis Genneva Malaysia serta di kediaman pengarah syarikat itu oleh Polis DiRaja Malaysia, BNM, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia, katanya.

Ia berkata aset dan dokumen syarikat berkenaan yang disita semasa serbuan itu akan disimpan bagi maksud memudahkan penyiasatan.

Menurut BNM, orang ramai perlu menyemak dengan pihak berkuasa yang berkaitan apabila berurusan dengan syarikat-syarikat atau individu yang menawarkan peluangperniagaan yang menarik atau perkhidmatan kewangan yang tidak dilesenkan oleh pihak berkuasa.

Bank pusat juga menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati untuk melabur dalam skim yang tidak dikawal.

“Agensi penguatkuasa akan mengambil tindakan terhadap skim kewangan haram untuk melindungi kepentingan pelabur dan masyarakat umum,” katanya.

Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui talian 1-300-88-5465. – BERNAMA

Add Comment


*