Gelaran Mat Rempit Perlu Dijenama Semula

Gelaran Mat Rempit Perlu Dijenama Semula

KUALA LUMPUR – Penunggang motosikal atau Mat Rempit di kalangan golongan muda perlu dijenama semula selepas sekian lama disalah anggap oleh segelintir pihak.

Ini berikutan golongan berkenaan memiliki semangat, aspirasi, kemahuan dan keistimewaan tersendiri yang sepatutnya menjadi rakyat Malaysia yang boleh dibanggakan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, generasi muda pelapis masa depan dan harus dididik dan dibimbing supaya menjadi pemimpin pada masa akan datang.

Menurutnya, penubuhan persatuan seperti Rempit United (RU) satu inisiatif yang dialu-alukan dan sebuah persatuan yang mewakili 239,000 penunggang motosikal adalah satu kekuatan.

“Kerajaan dan rakyat mengiktiraf pembabitan anak muda menyumbang tenaga dengan kerajaan untuk membantu memajukan negara. Kita mahu mereka bukan saja sebagai pemerhati, tetapi menjadi ‘pemain’ dalam proses pembangunan negara.

“Pendaftaran RU sebagai ahli Koperasi Belia 1 Malaysia (KOB1M) satu langkah bijak. Saya secara peribadi dan kerajaan akan memberi sokongan penuh kepada anak muda yang ingin melakukan perubahan, bersama-sama memainkan peranan membantu memajukan negara,” katanya.

Beliau berkata, tidak sepatutnya orang kita memberi alasan tiada pekerjaan, sedangkan ramai rakyat Indonesia dan Bangladesh datang ke sini untuk mencari rezeki.

“Hampir tiga juta masyarakat dari negara luar mencari rezeki di sini, kenapa kata tiada kerja tetapi (kita perlu) sanggup cari kerja, menyara diri dan keluarga,” katanya ketika menghadiri majlis rumah terbuka anjuran RU di Jalan Sultan Ismail, di sini, semalam. Majlis dihadiri lebih 5,000 penunggang motosikal dan orang awam.

Presiden Rempit United, Wazi Abdul Hamid yang juga bekas jaguh lumba motosikal negara berkata, RU sebuah pertubuhan yang komited untuk menyemai nilai aspirasi tinggi di dalam budaya rempit.

“Tidak adil jika kita melabel semua Mat Rempit sebagai penjenayah, sedangkan kebanyakan mereka hanya anak muda yang ingin berseronok dan berekreasi.

“Ingin saya tegaskan diri sini, Mat Rempit bukan penjenayah. Penjenayah tetap penjenayah, tidak kira rempit atau tidak. Ahli RU harus menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa,” katanya.

Wazi menyerahkan petisyen kepada Presiden KOB1M, Mohd Eddy Casmady Che Husin sebagai tanda RU mendaftar dan menjadi ahli KOB1M sebagai langkah menyahut seruan kerajaan membentuk masyarakat berkoperasi dan bermutu. – HMetroOnline

Add Comment


*