Bebas Dari Tuduhan Tanam Pokok Ganja Di Rumah

 

KEMAMAN – Seorang pemilik resort terlepas hukuman penjara seumur hidup apabila Mahkamah Sesyen, di sini, semalam melepas dan membebaskannya daripada lapan tuduhan berkait dadah termasuk menanam lima pokok ganja dalam rumahnya, dua tahun lalu.

Hakim Rofiah Mohamad memutuskan demikian setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Abdul Harris Fadillah, 49.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di rumah banglonya di Jalan Kubang Kurus, Taman Muhibah, Chukai, 12 Disember 2010.

Daripada lapan pertuduhan itu, tiga pertuduhan adalah secara bersama isterinya yang juga wanita warga Britain, Shivaun Patra Orton, 41, sementara lima lagi tuduhan secara individu termasuk kesalahan menanam lima pokok ganja.

Bagi kesalahan menanam pokok ganja, dia didakwa di bawah Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara seumur hidup dan tidak kurang enam sebatan jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa atas tujuh kes memiliki dadah di rumahnya pada masa dan tarikh sama melibatkan masing-masing tuduhan memiliki seberat 5.99 gram ganja, 2.76 gram ketamin dan 3.21 gram methamphetamine.

Abdul Harris juga didakwa atas pemilikan heroin seberat 5.98 gram dan 2.11 gram monoacetilmorfin, 0.031 gram masing-masing heroin dan monoacetilmorfin, 9.30 gram diazepam serta mempunyai sebanyak 0.94 gram heroin dan 0.25 gram monoacetilmorfin.

Dia yang diwakili peguam bela, Datuk Mohamad Shariff Abu Samah mengaku tidak bersalah atas kesemua dakwaan itu.

Rofiah dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Fithril Hakim A Jalil gagal menimbulkan keraguan munasabah dan oleh itu mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh tanpa memanggil untuk membela diri.

Gembira dengan keputusan itu, Abdul Harris diiringi Shivaun ketika mahu meninggalkan mahkamah sempat melambai tangan kepada petugas mahkamah.

Shivaun terlebih dahulu dilepas dan dibebaskan pada Disember tahun lalu.

Sebelum ini, berita mengenai penangkapan pasangan ini mendapat perhatian media antarabangsa kerana Shivaun ialah anak perempuan ahli fizik nuklear British terkemuka, Mike Orton.

 

Sumber – Sinar

Add Comment


*