Banduan Sepak Kepala Ketika Memandu

 

KUANTAN – “Tiba-tiba saya terasa kepala ditendang mengakibatkan kereta yang dipandu hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh lori rosak di tepi jalan,” kata anggota polis, Lans Koperal Filyx Saver, 24, mangsa kemalangan insiden banduan lari, di sini, kelmarin.

Menurutnya, ketika kejadian, banduan itu bertindak agresif dan dia sendiri tidak sedarkan diri selepas merempuh lori.

“Saya gagal mengawal kenderaan selepas kepala ditendang dengan kuat menyebabkan kemalangan berlaku dan banduan itu melarikan diri,” katanya ketika menerima lawatan Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff, di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), semalam.

Filyx berkata, dia lega apabila dimaklumkan banduan terbabit sudah berjaya ditangkap beberapa jam selepas meloloskan diri.

Katanya, dia dan dua rakannya yang turut cedera tidak menyangka kemalangan itu akan berlaku dan ini adalah kejadian pertama sepanjang tiga tahun berkhidmat sebagai anggota polis.

Isteri seorang lagi anggota polis yang cedera, Norliati Abdul Rahman, 43, berkata, dia bersyukur kerana suaminya, Koperal Rashid Ahmad, 51, selamat daripada kemalangan itu.

Menurutnya, dia bergegas dari Kuala Terengganu sebaik sahaja menerima panggilan kira-kira jam 2 petang yang memaklumkan mengenai insiden membabitkan suaminya itu.

“Sebelum ini suami pernah terbabit dalam kemalangan, tetapi saya tidak sangka pula kes ini turut mengakibatkan banduan melarikan diri. “Saya bersyukur kerana dia selamat dan hanya mengalami sedikit kecederaan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Jasmani berkata, polis berjaya menangkap banduan terbabit, Ruslan Ismail, 32, pada jam 10.25 malam di dalam sebuah rumah kosong di Taman Datuk Rashid.

Katanya, lelaki berkenaan cuba meminta air di rumah seorang penduduk, selain meminta membuka garinya, tetapi penduduk itu segera memaklumkan kepada polis.

“Banduan ditemui tidak cedera tetapi hanya mengalami calar di muka kesan kemalangan, selain agak lemah.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama dalam membantu menangkap banduan ini,” katanya

 

Sumber – SinarHarian

Add Comment


*