Agong, Permaisuri Mulakan Lawatan Ke Jepun Esok

Agong, Permaisuri Mulakan Lawatan Negara Ke Jepun Esok

 

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah akan berangkat memulakan lawatan negara ke Jepun esok.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini berkata lawatan lima hari itu adalah atas undangan Maharaja Jepun, Maharaja Akihito.

Seri Paduka berdua akan diiringi Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai menteri pengiring serta pegawai kanan Istana Negara, Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Luar.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dijadual berangkat mengunjungi Maharaja Akihito dan Maharani Michiko serta menghadiri majlis santapan negara bagi meraikan Seri Paduka berdua.

Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah juga dijadual berangkat menemui komuniti rakyat Malaysia di Jepun sempena majlis jamuan makan malam yang diatur Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo.

Menurut kenyataan tersebut, lawatan negara itu memberi peluang kepada kedua-dua ketua negara mengeratkan lagi hubungan peribadi dan persahabatan yang terjalin sejak lawatan Maharaja Akihito ke Malaysia pada 1970 sebagai Putera Mahkota Jepun.

Ketika itu, Tuanku Abdul Halim memegang jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Maharaja Akihito dan Maharani Michiko pernah melawat Malaysia pada 1991 dan 2006.

“Lawatan negara ini dijangka meningkatkan hubungan dua hala yang kukuh dan akrab antara Malaysia dan Jepun ke tahap lebih tinggi,” kata kenyataan itu. – BERNAMA

Add Comment


*