4 Jemaah Haji Malaysia Meninggal Dunia Setakat Ini

4 Jemaah Haji Malaysia Meninggal Dunia

 

MAKKAH – Empat jemaah haji Malaysia meninggal dunia di tanah suci setakat ini.

Pengurus Pusat Maklumat Operasi Shafie Sharif berkata, kesemua mereka meninggal dunia di Madinah kerana uzur serta serangan jantung, dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Baqi berhampiran Masjid Nabawi.

Beliau berkata, pusat maklumat Tabung Haji, yang beroperasi di Hotel Janadiriah di sini, sudah menyalurkan maklumat berhubung kematian jemaah haji berkenaan kepada waris mereka di tanah air.

“Semua urusan pengkebumian dikendalikan oleh Tabung Haji, dan bagi yang meninggal dunia di Makkah, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Maala atau Al Syarayek,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Shafie berkata, pihak Tabung Haji juga akan menyempurnakan upah haji atau badal haji bagi jemaah haji yang meninggal dunia sebelum sempat melaksanakan rukun haji iaitu Wukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah bersamaan 25 Oktober 2012.

Beliau berkata, pada musim haji tahun lepas, seramai 74 jemaah haji meninggal dunia di tanah suci.

Rombongan pertama jemaah haji Malaysia tiba di tanah suci pada 17 September lalu.

Seramai 28,000 jemaah haji Malaysia menunaikan rukun Islam kelima itu tahun ini. – BERNAMA

 

Add Comment


*