2,280 Jemaah Haji Malaysia Telah Sampai Di Tanah Suci

 

MADINAH – Seramai 2,280 orang daripada 28,000 jemaah haji Malaysia yang akan menunaikan rukun Islam kelima di Mekah pada tahun ini, sudah pun sampai di Madinah setakat ini.

Pengurus Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan Tabung Haji Mohamad Naser Jaffar berkata mereka sudah sampai sejak 16 Sept lepas dan diletakkan di hotel-hotel di sekitar Madinah.

“Kelebihan jemaah kita di Madinah ialah mereka mempunyai akses yang paling hampir dengan Masjid Nabawi dan setiap satu hotel terletak dalam lingkungan 50 meter dari masjid itu,” katanya kepada pemberita di pekarangan Hotel Al-Haram yang menjadi salah satu daripada empat hotel penginapan jemaah haji Malaysia di sini.

Beliau berasa sangat bersyukur kerana semua urusan berjalan lancar dan jemaah yang sampai berada dalam keadaan sihat dan bersemangat untuk melakukan aktiviti ibadah hari ini seperti ziarah ke Masjid Nabawi dan beberapa tempat menarik seperti Masjid Quba, Masjid Qiblatain, Masjid Tujuh dan makam para syuhada.

Semua penerbangan masuk ke Madinah dan Mekah akan datang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur kecuali pada hari ini, akan ada penerbangan dari Johor manakala dari Pulau Pinang pula pada 23 September, Kota Kinabalu pada 26 September, 27 September pula penerbangan dari Kuching dan Terengganu pada 28 September, katanya lagi.

Penerbangan masuk ke Tanah Suci dijangka berakhir pada 19 Oktober depan, katanya.

Jemaah haji yang mendarat di Mekah akan dibawa masuk ke Madinah selepas mereka menunaikan haji di sana, katanya.

Sementara itu tinjauan Bernama mendapati jumlah jemaah dari negara lain terutama dari Turki, Indonesia, Thailand, China dan beberapa buah negara lain sudah pun sampai dan jemaah ini mula membanjiri Masjid Nabawi yang sebelum ini hanya dikunjungi rakyat tempatan dan pekerja asing.

Mereka cuba mengambil peluang bersolat di kawasan Raudah yang ditanda dengan permaidani putih dalam Masjid Nabawi yang merupakan kawasan mustajab untuk doa, menjadikan ia kawasan yang paling sesak dalam masjid.

Kesesakan yang berlaku dalam masjid kedua terbesar di dunia di mana makam Rasulullah SAW ditempatkan itu menyebabkan ada jemaah dan pengunjung terpaksa bersolat di luar masjid.

Masjid itu mampu menampung seramai 600,000 jemaah dan apabila musim haji, kapasiti luarannya yang dibina payung-payung gergasi automatik boleh menampung kira-kira sejuta orang. – Bernama

Add Comment


*