Rossa Bakal Berkahwin Tidak Lama Lagi?

Rossa Bakal Berkahwin Tidak Lama Lagi?

SIAPA tidak kenal dengan penyanyi diva seberang, Rossa yang bukan sahaja sentiasa menjadi perhatian peminat di negara itu, malah pengaruhnya dalam industri muzik di Malaysia juga tidak kurang hebatnya.

Maka tidak hairanlah setiap perkembangan mengenai karier nyanyian dan juga soal peribadinya sentiasa menjadi perbualan hangat peminat muzik di Indonesia mahupun Malaysia.

Kunjungan Rossa baru-baru ini untuk mempromosikan album terbarunya The Best Of Rossa memberi peluang kepada media tempatan untuk bertanyakan sendiri mengenai kisah percintaannya seperti yang dikhabarkan media di seberang.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Hati Yang Kau Sakiti ini menjelaskan khabar angin yang mengatakan dirinya sudah memperkenalkan teman lelaki kepada keluarganya bukanlah sesuatu yang luar biasa.

“Apa yang dikhabarkan itu adalah sesuatu yang biasa buat keluarga saya kerana saya kerap membawa teman-teman bertemu keluarga. Saya lebih selesa berterus terang dengan ke dua ibu bapa dan juga anak saya, Rizky.

“Mungkin dari situ ada beberapa pihak yang salah faham dan itu punca khabar angin yang mengatakan saya sudah memiliki teman hidup mula tersebar. Maka, gosip yang mengatakan saya akan mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat adalah tidak benar,” katanya.

Bagaimanapun, penyanyi jelita ini mengakui dirinya kini sedang mengenali hati budi beberapa teman lelaki. namun itu tidak bermakna dia mahu mempermainkan perasaan teman-temannya itu.

“Dalam ramai-ramai yang saya kenal, cuma seorang yang saya rasakan ada keserasian antara kami. Dia seorang ahli perniagaan yang berumur 30-an.

“Bukan saya sahaja yang senang dengan kehadirannya, malah kedua ibu bapa dan anak saya juga turut gembira mengenalinya. Yang penting dia juga bujang seperti saya. Tapi buat masa ini saya tidak terlalu terburu-buru untuk bercakap mengenai perhubungan yang lebih serius bersamanya,” katanya.

Tambah Rossa, dia tidak pernah meletakkan had usia untuk sekali lagi mendirikan rumah tangga kerana baginya soal jodoh bukanlah sesuatu yang boleh ditetapkan oleh manusia.

Buah tangan baru

Menyentuh mengenai tujuan utamanya berkunjung ke negara ini, Rossa mengatakan album terbarunya, The Best of Rossa dihasilkan untuk berkongsi koleksi lagu-lagu popular nyanyiannya sebelum ini bersama peminat.

“Selain mengandungi lima buah lagu baru, album ini turut memuatkan lagu lama seperti Pudar, Ayat-Ayat Cinta, Tegar, Atas Nama Cinta, Kini, Ku Menunggu dan Terlanjur Cinta.

“Dalam album ini juga terdapat satu lagu Inggeris di mana saya berkolaborasi bersama penyanyi rap dari Malaysia, Joe Flizzow,” ujarnya.

Katanya, lagu-lagu baru yang dimuatkan di dalam album ini turut berbeza buat pasaran di Malaysia kerana lima buah lagu baru dimuatkan berbanding tiga buah lagu sahaja di Indonesia.

“Jika di Indonesia penjualan album ini amat memberangsangkan dan saya mengharapkan ianya juga dapat sambutan yang sama di sini,” katanya.

Tunai haji

Berkongsi mengenai perkembangan lain, pelantun Ayat Ayat Cinta ini bakal menunaikan haji bulan hadapan setelah berdaftar tahun lepas.

“Insya-Allah saya akan menunaikan ibadah haji buat kali pertama dan saya berharap semuanya bakal berjalan dengan baik.

“Saya akan menunaikan haji seorang diri bersama jemaah lain dengan mengikuti rombongan sebuah agensi,” katanya.

Sebelum ini Rossa dikatakan pernah menunaikan umrah sebanyak tiga kali. – SinarHarian

 

Add Comment


*