Nad Zainal Kini Semakin Dikenali Ramai

 

WALAU pun membabitkan diri dalam industri seni seawal 2007, namun gadis kelahiran Kajang, Selangor ini seakan kabur di mata peminat seni tempatan.

Pun begitu, namanya mula menjadi sebutan sepanjang tahun ini apabila sering muncul di layar skrin.

Malah kehadirannya menerusi drama Bukan Bidadari di Slot Lestari TV3 yang disiarkan setiap Selasa jam 9 malam, menyerlahkan lagi bakatnya dalam bidang lakonan.

Memegang peranan sebagai Inas, Farah Nadia Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai Nad Zainal mengakui Bukan Bidadari berjaya mengubah persepsi pengarah, penerbit dan peminat terhadap kebolehannya dalam bidang ini.

“Sebenarnya orang mula mengenali saya apabila terlibat dalam drama Memberku Hawa, bagaimana pun, kerana watak saya dalam drama itu lebih ringan dan santai, mungkin ramai kurang memberi perhatian.

“Apabila muncul sebagai Inas, memang banyak perbezaannya. Apa yang saya nampak, ketika menjadi Inas, saya semakin menjadi tumpuan.

“Bahkan, ramai pengarah mula memberi kepercayaan kepada saya memegang watak lebih berat dan serius,” katanya memberitahu Bukan Bidadari baru sahaja menamatkan episod terakhirnya semalam.

Berkongsi kegembiraannya kerana diterima peminat menerusi drama itu, jelas Nad, dia sangat bersyukur kerana Inas telah menaikkan namanya.

“Saya gembira kerana watak dan lakonan yang dibawa menjadi di mata mereka. Saya yakin jika penonton memberi respons baik terhadap watak yang dibawa, pasti ia kerana keberkesanan pelakon itu menghidupkan wataknya.

“Lagi pun, ini kali kedua saya membawa watak begini dan saya tidak menduga ia berjaya membuka mata orang ramai mengenai kewujudan saya selama ini,” kata gadis berusia 22 tahun ini.

Ditanya apakah dia akan memilih watak yang diberikan selepas ini, ujar Inas, sebagai pendatang baru, dia tidak boleh terlalu memilih.

“Setiap watak dan peranan mempunyai keistimewaan masing-masing. Adakala, biar pun sebagai pembantu, tetapi watak itu lebih menyerlah.

“Pokok pangkalnya, cara kita membawa watak yang diberikan,” ujarnya memberi 100 peratus fokus terhadap bidang lakonan.

Fokus satu kerja

Mungkin namanya kurang menyerlah berbanding artis popular lain, namun bagi Nad, semua itu bukan masalah baginya untuk pergi lebih jauh.

Malah ia menguatkan lagi semangatnya untuk terus mewarnai industri ini bersama rakan seperjuangannya yang lain.

Mengulas persaingan antara mereka, Nad berkata, setiap pelakon mempunyai keistimewaan tersendiri.

“Saya akui ada segelintir pelakon baru yang senang mencipta nama, baru sahaja muncul di kaca televisyen, mereka kemudiannya mendapat tawaran yang tidak putus.

“Mungkin itu rezeki mereka, dan saya pula senang dengan cara begini, hanya menerima tawaran yang datang apabila sebuah projek telah disiapkan. Saya tidak mahu mengejar tawaran yang datang kerana bimbang tidak dapat memberikan komitmen.

“Saya lebih gemar memberikan perhatian kepada satu kerja itu sehingga habis dan kemudian barulah disambung dengan yang lain. Apa pun, saya bersyukur kerana menerima banyak tawaran lakonan sekarang,” katanya yang sangat mengagumi lakonan Sharifah Amani.

Impi watak epik

Berbeza sungguh cara gadis cantik ini apabila berbicara mengenai watak idamannya. Jelasnya, jika diberi peluang, dia teringin melakonkan watak epik dan tokoh politik.

“Sukar untuk membawakan watak begini, selain cabaran menjadi tokoh tersebut, pelbagai kajian perlu dijalankan. Jika tersalah fakta, pasti meninggalkan kesan yang buruk.

“Malah, kalau kita tidak mampu menggalasnya dengan baik, sudah pasti lakonan kita akan dikritik dengan teruk,” kata bekas penuntut Diploma Teater dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ini.

Bercerita mengenai perkembangan terbarunya pula, Nad kini sedang sibuk menjalankan penggambaran drama bersiri Putera Rayyan yang akan disiarkan di Slot Samarinda TV3.

Drama 24 episod ini memerlukan Nad memegang watak sebagai seorang yang sangat baik.

“Dalam drama ini, saya bergandingan bersama Kamal Adli dan Miera Liyana, drama ini ibarat cerita Bawang Putih, Bawang Merah.
PROFIL

Nama Penuh: Farah Nadia Binti Zainal Abidin.

Tempat Lahir: Kajang, Selangor.

Pendidikan: Diploma Teater dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara)

Kerjaya: Pelakon dan Model.

Drama: Sunsilk Impian, Bloggerboy 2 (2008), Apa Dosaku : Sybil Kathigasu (2009), Inikah Cinta, Qolbu, Papaku Nak Kahwin dan kisah futuristik, Rafik (2010), Buaian Kasih, Elly dan Epit, Incredible Tales, Memberku Hawa, Bukan Bidadari dan Putera Rayyan.

Filem: Jidin Sengal, Kami Histeria

Sumber – Sinar

Add Comment


*